Jose Mourinho mahukan skuad yang lebih seimbang bagi musim depan tatkala pengurus Tottenham Hotspur itu mengintai kempen yang bebas kecederaan.

Mourinho dilantik selaku pengurus Spurs pada November lalu tetapi bekas pengendali Manchester United itu sekadar melihat beberapa bintang seperti Harry Kane, Son Heung-min, Hugo Lloris dan Moussa Sissoko mengalami kecederaan.

Isu kecederaan menyaksikan Spurs tewas dalam empat perlawanan berturut-turut termasuk tersingkir daripada Piala FA susulan tewas di tangan Norwich City, berada di tangga ketujuh Liga Perdana Inggeris sambil dibezakan lima mata daripada slot Liga Juara-Juara Eropah.

Menjelang kunjungan ke Burnley awal pagi esok sebelum berdepan RB Leipzig di tempat lawan, Selasa depan, Mourinho berbincang mengenai perancangan perpindahannya.

"Saya tahu apa yang jadi keutamaan," katanya.

"Saya berbincang dengan pengerusi. Namun, saya tidak bercakap setiap hari kerana kadangkala ada perkara lain perlu dia lakukan.

"Saya tidak perlukan hari tertentu untuk bercakap dengan pengerusi kelab serta ketua pemantau, Steve Hitchen. Kami sentiasa bersama. Saya tidak perlukan perbincangan tetapi hanya idea yang normal dan dirasakan sama.

"Kami tahu pemain berasa penat, cedera dan kami perlu membina skuad yang lebih seimbang untuk musim depan kerana kami tidak percaya situasi sama akan berlaku. Namun, dalam bola sepak, apa sahaja boleh terjadi dan anda perlu bersedia untuk menghadapinya.

"Kami tahu perlu membina skuad yang lebih seimbang kerana apa sahaja boleh berlaku. Jadi, kami tahu segalanya.

"Kami perlu berikan sentuhan berbeza kepada skuad untuk bersedia dengan segala perkara di luar jangkaan. Apa yang saya tahu, kami harus menang esok dan perlu menang Selasa nanti.

"Jika tidak, kami akan pulang. Sama seperti aksi menentang Norwich. Kami pulang, tidur, sedih tetapi tidur dalam keadaan aman dan keesokan harinya, ia bermula lagi."