Jose Mourinho memberi amaran kepada kapten pasukan, Wayne Rooney, dan jentera serangan Manchester United supaya mula menghasilkan jaringan bagi mengurangkan beban yang dipikul oleh Zlatan Ibrahimovic.

Rooney hanya menjaringkan tiga gol dalam 20 perlawanan dalam semua pertandingan sepanjang musim ini dan gagal untuk menambahkan bilangan golnya ketika menewaskan Zorya 2-0 dalam aksi Liga Europa.

United hanya menjaringkan 19 gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), dengan lapan daripada gol berkenaan disumbat oleh Ibrahimovic.

Pengurus The Red Devils, Mourinho, mahu aksi yang lebih bertenaga daripada Rooney -- yang hanya memerlukan satu gol untuk menyamai rekod gol sepanjang zaman yang dicipta oleh Bobby Charlton.

"Sebagai pemain penyerang, sudah menjadi kebiasaan buat Rooney untuk menjaringkan gol," ujar Mourinho.

"Dia telah menjaringkan dua gol, satu gol ketika bertemu Fenerbahce dan satu lagi dalam aksi EPL. Kami menjangkakan lebih banyak gol lagi daripadanya.

"Kami juga mengharapkan pemain-pemain lain turut mula untuk menghasilkan gol.

"Kami ada Zlatan, tetapi setiap pemain lain harus tidak melepaskan peluang yang terhidang untuk menjaringkan gol."

Rooney banyak beraksi di bahagian tengah bersama England tetapi Mourinho menegaskan dia harus bermain di bahagian serangan.

"Bersama saya, dia adalah penyerang. Di dalam skuad kebangsaan, mereka boleh lakukan apa sahaja yang mereka mahu. Jika mereka mahu dia beraksi di bahagian pertahanan sekalipun, ia bukan masalah saya.

"Tetapi di dalam pasukan saya, Rooney adalah pemain penyerang. Dia akan beraksi dalam posisi nombor 10 atau 9."