Jose Mourinho menuntut peningkatan dalam persembahan Henrikh Mkhitaryan dan mendakwa pemain itu "hilang" ketika perlawanan sedang berlangsung.

Pemain kebangsaan Armenia itu memulakan musim ini dengan cemerlang, dengan melakukan lima bantuan jaringan buat United sebelum meledak gol ketika meraih kemenangan 4-0 ke atas Everton pada September lalu.

Tetapi persembahan pemain berusia 28 tahun itu semakin malap dan terlepas perlawanan bertemu Newcastle United dan Basel.

Mourinho menjelaskan bekas pemain Borussia Dortmund itu akan kembali beraksi bertemu Brighton and Hove Albion di Old Trafford hari ini tetapi mahu dia kembali ke tahap terbaiknya.

"Saya tidak gembira dengan persembahannya sebelum ini," kata Mourinho.

"Dia memulakan musim ini dengan baik tetapi persembahannya semakin malap daripada perlawanan ke perlawanan. Peranannya sebagai pemain nombor 10 tidak lagi efektif dan saya mengambil keputusan untuk merehatkannya," katanya.

Kritikan terhadap pemain yang kreatif dalam pasukan menjadi tema buat pengurusan Mourinho sejak kebelakangan ini.

Anthony Martial digesa tidak membazirkan bakatnya pada awal tahun ini manakala Juan Mata – pemain kebangsaan Sepanyol yang dijual Mourinho ke United ketika mengendalikan Chelsea -- masih tidak beraksi dalam kesebelasan utama pasukan musim ini.

"Saya berasakan mereka telah memberikan yang terbaik. Saya tidak merungut mengenai dedikasi atau motivasi mereka.

"Saya berasakan terdapat peningkatan dalam persembahan Martial. Dia menjaringkan lebih banyak gol berbanding musim lalu.

"Setiap pemain memiliki kualiti yang berbeza. Kadang-kala mereka menghasilkan banyak percubaan tetapi gagal menjaringkan gol.

"Realitinya, walaupun kami kurang menjaringkan gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), kami masih berada di tangga kedua liga," tambahnya.