Jose Mourinho berusaha untuk memperbaiki skuad Tottenham menjelang musim depan selepas menamatkan musim 2019-20 dengan melayakkan diri ke Liga Europa.

Keputusan seri 1-1 dengan seteru kota London, Crystal Palace, terbukti sudah memadai buat Spurs mengatasi Wolves yang ditewaskan Chelsea 0-2 untuk mengungguli tempat keenam pada hari terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.

Selepas mencatat empat kemenangan dan dua seri dalam enam perlawanan terakhir, Mourinho berasakan pasukannya mampu menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas musim depan selain bernasib baik mengelak kecederaan dan menyuntik beberapa wajah baru.

"Apabila semua pemain boleh diturunkan, kami membuktikan dalam tempoh terakhir ini di mana kami patut berada," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan itu.

"Selepas perintah kawalan pergerakan, kami layak menduduki tempat ketiga atau keempat. Di situlah kami berada. Saya mahu mendapatkan pasukan saya, mengetengahkan pemain saya, bukannya bilik rawatan yang penuh dengan pemain, sebaliknya padang yang penuh dengan pemain.



"Kami mahu mengekalkan pemain handalan kemudian memperbaiki skuad ini. Apakah kami akan membeli 10 pemain. Tidak? Apakah kami akan membayar £100 juta (RM546.2j) demi seorang pemain? Tidak.

"Tetapi mari kita lihat kelak. Pasaran pemain sangat pelik. Saya tidak pasti sama ada kami akan memulakan usaha pra-musim dengan pemain baru atau apa yang akan dilalui sepanjang tempoh itu.

"Kami akan menjaga struktur pasukan ini kerana kami sama sekali tidak berminat menjual pemain terbaik kami.

"Saya senang bekerja dengan (Ketua Pencari Bakat) Steve Hitchen dan kami saling berbincang dengan (Daniel) Levy dan ahli lembaga pengarah.

"Kami akan melakukan segala yang terdaya dan semoga musim depan kami dapat memberikan musim yang sangat baik buat peminat."





Gol kelima Harry Kane dalam tiga perlawanan memberikan skuad London utara itu kelebihan dalam tempoh 13 minit aksi di Selhurst Park sebelum Palace mengimbangi kedudukan melalui Jeffrey Schlupp pada awal babak kedua.

Mourinho mengakui pasukannya tidak berada di tahap terbaik dalam pertembungan awal pagi tadi itu, yang dianggapnya sebagai kempen yang melelahkan selama 12 bulan.

"Ini satu perlawanan yang sukar," katanya.

"Kami tidak beraksi dengan baik sama sekali. Saya faham adalah sukar untuk menyimpulkan musim ini dalam satu perlawanan.

"Terdapat tekanan tinggi. Pemain memang layak. Saya juga harus mengatakan bahawa Palace beraksi dengan sangat baik. Mereka menerapkan elemen profesionalisme yang luar biasa. Ini adalah England.

"Saya rasa ini adalah satu tekanan dan kelesuan, khususnya sepanjang 12 bulan musim ini.

"Orang boleh mengatakan 'oh selama dua atau tiga bulan anda tidak beraksi' tetapi ketika itu mungkin ia lebih sukar kerana pemain berkurung di rumah, berlatih di gelanggang tertutup dan hanya dipantau melalui program maya.

"Musim ini saingan berlanjutan hingga 12 bulan jadi ia sangat sukar. Ia melibatkan banyak perkara."

Selepas empat musim berturut-turut dalam Liga Juara-Juara (UCL), cabaran dalam Liga Europa kini menanti Spurs, tetapi Mourinho fokus ke arah perkara yang positif.

"Saya cukup gembira kerana musim depan kami dapat beraksi dalam Liga Europa," katanya.

"Ini hanya soal memotivasikan diri sendiri untuk pertandingan itu, memotivasi peminat untuk menyokong kami dan berusaha melakukan sesuatu yang indah.

"Sudah tentu semua orang yang pernah beraksi dalam UCL tidak mahu kembali dan beraksi Liga Europa tetapi itulah satu-satunya perkara yang boleh dicapai selepas musim yang sukar yang dilalui kelab ini, terhadap pemain dan dalam kes ini, juga kepada diri saya sendiri. "