Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, mengesahkan dia mahu menambah seorang pemain di bahagian tengah dan sayap bagi menghadapi saingan musim depan.

Pendedahan itu menguatkan lagi spekulasi bahawa Mourinho bakal mendapatkan pemain sayap Inter Milan, Ivan Perisic, serta bekas anak buahnya di Chelsea, Nemanja Matic.

Setakat ini, United telah menandatangani Victor Lindelof dan Romelu Lukaku bagi memperbaiki kedudukan keenam liga yang diraih pada musim lalu.

Biarpun pesaing-pesaing lain seperti Chelsea dan Manchester City telah mendapatkan lebih ramai pemain baru, Mourinho tetap tenang dengan situasi tersebut.

“Secara jujur, saya tidak pasti kerana Ed Woodward yang menguruskannya.

“Dia berjaya mendapatkan Lindelof serta Lukaku dan sedar saya mahu menambah dua lagi pemain tetapi jika hanya berjaya menambah satu, saya menganggapnya sebagai kesan daripada pasaran,” kata Mourinho.

“Hubungan kami baik dan saya juga tenang, saya percayakan skuad yang saya ada dan itu yang paling penting.

“Saya gembira jika dapat menambah seorang pemain yang mampu menyerang dari bahagian sayap tetapi saya tidak bercakap mengenai pemain yang bukan milik saya,” tambahnya.