Pemain tengah Manchester United, Marouane Fellaini, berasakan berlatih di bawah kendalian Jose Mourinho lebih "menyeronokkan" berbanding ketika di bawah Louis van Gaal.

Mourinho menggantikan Van Gaal di Old Trafford menjelang permulaan musim 2016-17 dan Fellaini berasakan dirinya semakin bertenaga untuk beraksi.

"Van Gaal terlalu tegas berbanding Mouirnho," Fellaini memberitahu Sky Sports Soccer AM.

"Latihan lebih menyeronokkan dengan Mourinho, corak latihan juga sering berubah. Ia bukan satu rutin. Van Gaal memiliki falsafahnya tersendiri tetapi Mourinho lebih berbeza."

United gagal tampil lebih positif meskipun tanpa Van Gaal selaku pengendali, namun Fellaini yakin Mourinho merupakan calon tepat untuk jawatan itu.

"Pada saya, Mourinho adalah calon tepat sebagai pengurus," tambahnya. "Dia memiliki banyak pengalaman dan dia tahu apa yang perlu dilakukan.

"Dia hanya memerlukan masa."

Fellaini telah membuat penampilan lebih kerap di bawah Mourinho dan senario itu membuatkan pemain antarabangsa Belgium itu teruja dengan kepercayaan diberikan terhadapnya.

"Dia meminta saya mengekalkan corak permainan saya. Dia tahu kemampuan saya.

"Ketika berlangsung Euro 2016, dia bertanyakan kepada saya sama ada saya mahu berhijrah atau kekal di Old Trafford, pertanyaan itu meningkatkan keyakinan saya."