Jose Mourinho tidak percaya pengurus harus mempunyai "murid" sambil menegaskan bahawa setiap pengurus mempunyai gaya tersendiri dalam bola sepak.

Tottenham bakal menyambut kunjungan Leeds United malam ini dan pengurus The Whites, Marcelo Bielsa, meraih banyak pujian atas corak permainan pasukannya musim ini.

Selepas membawa pasukan itu keluar daripada Liga Kejuaraan menerusi percubaan kedua, Bielsa kini meletakkan Leeds ke tangga ke-11 setelah 16 perlawanan.

Leeds telah merekodkan 30 gol musim ini untuk berada di belakang Liverpool, United dan Chelsea daripada segi jumlah jaringan, namun mereka juga dibolosi dengan jumlah yang sama -- hanya West Brom melepaskan gol lebih banyak.

Selepas tewas 2-6 di Manchester United yang mendorong pemerhati bola sepak untuk menasihatinya supaya taktik menyerang habis-habisan mereka perlu diubah, Leeds telah memenangi dua perlawanan terakhir mereka dengan mengalahkan Burnley 1-0 sebelum membelasah West Brom 5-0.

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, dan bekas pengendali Tottenham, Mauricio Pochettino, antara penyokong kuat Bielsa yang pernah menggalas tanggungjawab di Argentina, Chile, Athletic Bilbao, Marseille dan Lille.




Ditanya apakah dia merupakan peminat Bielsa, Mourinho mengakui tidak begitu mengenali pengurus Leeds itu untuk menilainya, tetapi menolak cadangan bahawa seorang pengurus perlu mempunyai murid.

"Saya hanya murid kepada ayah saya. Saya tidak suka keadaan itu dalam bola sepak," katanya dalam sidang akhbar.

"Malah, termasuk jurulatih atau individu yang lebih muda yang pernah bekerja dengan saya dalam bola sepak. Saya tidak suka mereka dianggap sebagai murid Jose.

"Setiap jurulatih adalah individu yang mempunyai idea sendiri. Mereka boleh dipengaruhi oleh faktor luar tetapi mereka tetap individu.

"Saya tidak mengenali Bielsa dengan baik. Saya rasa dia pernah menjadi jurulatih Athletic Bilbao pada satu musim ketika saya berada di Real Madrid. Ini adalah julung kalinya kami bertemu EPL.

"Sudah pasti dia adalah pengurus yang sangat baik, tetapi saya tidak menganalisanya kerana saya tidak mengenalnya. Saya pernah berjabat tangan dengannya beberapa kali, itu saja."

Tottenham ketandusan kemenangan dalam empat perlawanan, namun kemenangan ke atas Leeds mampu melonjakkan mereka ke kelompok tiket Liga Juara-Juara (UCL).

"Saya percaya kami akan kembali melalui detik yang baik, Apabila anda meneliti kelab lain yang beraksi baik, kecuali Aston Villa yang mungkin mempunyai kestabilan, sebuah kelab lagi telah tersingkir dalam UCL, satu lagi seri dua kali berturut-turut manakala yang satu lagi pencabar berterusan kalah tiga kali di tempat lawan.

"Ia sukar buat semua pasukan. Saya mengulanginya dan mungkin bukan semua orang bersetuju dengan saya tetapi wujudnya pemain hebat di setiap kelab. Mereka mampu mewakili kelab besar.

"Saya tidak bercakap tentang iverpool dan Chelsea, saya cakap mengenai pasukan-pasukan yang dianggap kurang berpotensi. Ia semakin palsu. Saya tidak lagi memandang kepada dimensi kelab, saya tidak lagi melihat kepada kedudukan liga."