Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, cuba mengendurkan perbalahannya dengan Antonio Conte sambil menjelaskan dia tidak pernah menyasarkan pengurus Chelsea itu.

Mourinho dan Conte terbabit dalam pertikaman lidah selepas pengurus United itu mengkritik jurulatih yang “meratap” mengenai kecederaan – satu sindiran yang pengurus berbangsa Itali itu berasa dihalakan terhadapnya.

Tapi pengurus Portugis itu, yang pasukannya akan berkunjung ke Huddersfield Town hari ini, berkata komen-komennya itu tidak bermaksud khusus kepada Conte.

“Saya tidak bercakap dengannya. Saya tidak tahu kenapa dia bercakap dengan saya tapi itu bukan masalah atau ia bukan salahnya, sebaliknya ia salah wartawan yang memberikannya mesej yang salah,” kata Mourinho.

“Ada pengurus-pengurus di seluruh dunia, yang secara falsafah memilih untuk bercakap mengenai kecederaan, mereka gemar mencari alasan mengenai satu hipotesis kegagalan berdasarkan kepada kecederaan.

"Sejak musim lalu, kami memiliki masalah besar kecederaan dan musim lalu, anda tahu tanpa (Romelu) Lukaku, Zlatan (Ibrahimovic) jauh lebih penting buat kami dan (semua orang tahu) apa maknanya (Paul) Pogba buat kami.

Mourinho, yang menjangka akan mendapat semula khidmat pertahanan, Eric Bailly, daripada kecederaan minggu depan, mengakui sering merungut mengenai jadual perlawanan: “Saya mengeluh mengenai jadual perlawanan, mengeluh mengenai tiada masa untuk berehat.

“Apabila pengurus-pengurus kata saya mengeluh mengenai jadual, mereka betul tapi tiada siapa boleh mengatakan saya mengeluh mengenai kecederaan kerana saya selalu cuba bercakap mengenai peluang untuk pemain lain,” katanya lagi.