Jose Mourinho percaya Harry Kane merupakan salah seorang penyerang terbaik dunia dan mahu membawanya pergi ke tahap seterusnya dengan memenangi trofi di Tottenham Hotspur.

Kane muncul salah seorang bintang buat kelab dan negaranya hasil sentuhan Mauricio Pochettino dan bakal memulakan cabaran baru bersama Mourinho menjelang perlawanan pertama di bawah bimbingan pengendali itu menentang West Ham malam ini.

Meskipun mengemudi Spurs muncul salah satu pencabar Liga Juara-Juara Eropah sewaktu di bawah bimbingannya, kelemahan pengurusan Pochettino adalah kekurangan trofi utama.

Mourinho -- selaku pemenang liga di empat negara berbeza -- dilihat sebagai pakar dalam situasi tersebut dan dia prcaya sesuatu yang diperlukan untuk meningkatkan kariernya adalah trofi.

"Tidak diragui, dia merupakan salah seorang penyerang terbaik dunia," katanya.

"Dia hanya perlukan pasukannya. Jika pasukannya England atau Spurs, dia perlukan seluruh skuad untuk mara bersama-samanya ke tahap baru.

"Apa itu tahap baru? Kejuaraan. Bersama kami, bersama England, dia perlu membuktikan kualiti yang dimiliki sebagai seorang pemain menerusi jaringan yang dihasilkan serta apa yang ditawarkan kepada pasukan.

"Dia merupakan penyerang hebat dan anda betul, saya pernah bekerjasama dengan sesetengah daripada mereka sebelum ini."

Spurs bakal menuju ke hujung minggu dengan berada di kedudukan ke-14 liga, 20 mata di belakang pendahulu, Liverpool.

Untuk jangka panjang, Mourinho tidak fikir cita-cita buat Kane dan rakan sepasukannya perlu dihadkan.

"Ketika ini, saya hanya fikirkan pertemuan dengan West Ham dan Olympiacos," tambahnya.

"Kami akan cuba untuk menewaskan West Ham serta meneruskan kemaraan ke pusingan seterusnya dalam Liga Juara-Juara.

"Namun, dengan skuad yang kami miliki serta kualiti yang ada pada struktur pasukan, saya fikir kami boleh menyimpan cita-cita sama seperti orang lain atau kelab yang lebih besar.

"Saya tidak mahu pemain takutkan apa-apa. Kami berjuang menentang sesiapa sahaja."

Individu yang bertanggungjawab dalam menentukan struktur kelab adalah pengerusi, Daniel Levy, sekali gus dilihat sebagai faktor utama kepada pelantikan Mourinho di Spurs.

Mourinho berminat dengan reputasi Levy, yang dilihat sukar berurusan ketika jendela perpindahan, menekankan terhadap 'misi mustahil' buat mana-mana kelab untuk membawa Kane keluar dari London Utara.

"Saya pernah berada di kelab yang takutkannya. Ia benar," ujar Mourinho.

"Dia sangat berkuasa. Dia seorang ahli perniagaan dan dalam masa sama sukakan bola sepak. Dia mempunyai pengalaman yang luas.

"Dia seorang individu bola sepak. Dia memahaminya, faham tentang industri dan evolusi. Bagus untuk memilikinya di pihak saya."