Jose Mourinho kecewa kerana tiada sistem video bantuan pengadil (VAR) untuk menidakkan jaringan pembukaan Casemiro ketika Manchester United tewas 2-1 kepada Real Madrid dalam saingan Piala Super UEFA, awal pagi tadi.

Pemain Brazil itu memecah kebuntuan pada minit ke-24 di Skopje, dengan menampan masuk hantaran Dani Carvajal menewaskan David de Gea walaupun ulang tayang menunjukkan dia berada di kedudukan ofsaid.

Pegawai perlawanan membenarkan gol itu dan Isco memastikan kemenangan Real dalam separuh masa kedua, dengan jaringan sulung Romelu Lukaku dalam saingan kompetitif gagal membantu United untuk melakar kebangkitan.

Mourinho percaya perlawanan dilihat seimbang dan United boleh memaksa perlawanan ke masa tambahan jika sistem VAR digunakan untuk melihat kedudukan ofsaid Casemiro.

"Saya berasakan kami telah bermain dengan baik. Tewas dengan satu jaringan membuktikan kami tewas tipis dan satu daripada jaringan mereka adalah ofsaid. Jika sistem VAR digunakan, perlawanan akan diteruskan ke masa tambahan," kata Mourinho.

"Mereka mampu menjaringkan lebih banyak gol, kami juga mampu menjaringkan lebih daripada apa yang telah kami lakukan. Kedua-dua pasukan telah mendominasi perlawanan ini."

Mourinho kini telah gagal menewaskan Real dalam lima percubaan dalam aksi kompetitif dan masih lagi belum menjuarai trofi Piala Super.

Bagaimanapun, bekas pengendali Chelsea itu gembira dengan prestasi anak buahnya dan tidak sabar menantikan musim 2017-18.

"Kami bermain dengan pemain-pemain yang berkualiti. Kami memberikan saingan kepada mereka dan menerima kekalahan ini dengan penuh bangga.

"Saya sangat gembira kerana dapat mengendalikan pemain-pemain ini dan saya tidak pernah memiliki barisan seperti ini. Saya akan berjuang bersama-sama mereka bagi musim akan datang."