Jose Mourinho membidas Persatuan Bola Sepak England (FA) kerana tidak melindungi Wayne Rooney selepas kapten Manchester United itu menjadi sasaran kecaman media ketika terlibat dengan aksi antarabangsa.

Gambar pemain berusia 31 tahun itu dalam keadaan mabuk seelpas menghadiri parti majlis perkahwinan telah disebarkan oleh media tempatan sebaik berakhir aksi kelayakan Piala Dunia berdepan Scotland.

Pengendali sementara Three Lions, Gareth Southgate, dikatakan kecewa dengan tingkah laku pemain itu sehingga timbul dakwaan bahawa tugas kapten digalas pemain itu bakal dilucutkan.

Mourinho mengkritik FA kerana tidak membendung insiden itu daripada berlaku.

"Pada saya jika seorang pemain mewakili skuad kebangsaan, menjadi tanggungjawab skuad itu untuk melindungi pemainnya.

"Jadi, satu hari nanti jika saya menjadi pengendali skuad kebangsaan, saya akan cuba melindungi pemain saya.

"Pada saya, jika kita mengikut jejak setiap pemain pemain yang berada dalam skuad England, saya yakin ada antara mereka yang mengunjungi tempat lebih teruk daripada sebuah bar."