Pengurus Fulham, Claudio Ranieri, berkata Jose Mourinho merupakan "jiwa kepada bola sepak" dan berharap pengurus itu segera kembali selepas dipecat Manchester United, Selasa lalu.

Tempoh dua setengah tahun Mourinho bersama United tamat selepas dipecat pengurusan tertinggi pasukan itu ekoran kekalahan 1-3 kepada pendahulu liga, Liverpool, Isnin lalu.

Pengurus kelahiran Portugal itu dikaitkan semula dengan pasukan yang pernah dibimbingnya, Real Madrid, namun Ranieri mahukan pengurus itu segera kembali ke arena bola sepak.

"Saya ada mengirimkan pesanan ringkas kepadanya, kami sememangnya rakan baik.

"Inividu seperti Mourinho perlu segera kembali, begitu juga dengan Antonio Conte (bekas pengurus Chelsea).

"Mereka adalah jiwa kepada bola sepak.

"Mereka meraih kejayaan di pelbagai negara.

"Setiap pengurus pasti mahu melihat mereka kembali ke padang," katanya.

Ole Gunnar Solskjaer dilantik selaku pengurus sementara United bagi menghadapi baki saingan musim ini.

Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino, sedang hangat diperkatakan sebagai calon pengganti kepada Mourinho.

United kini di tangga keenam liga dengan ketinggalan 19 mata di belakang pendahulu, Liverpool.

Mereka akan berdepan Cardiff City, awal pagi Isnin ini.

Fulham pula di kedudukan tercorot liga dan akan bertemu Newcastle United, malam ini.