Jose Mourinho mendedahkan dia tidak bercadang untuk meletakkan Paul Pogba dalam kesebelasan utama sewaktu Manchester United tewas 3-1 di tangan Liverpool awal pagi tadi sambil menolak kritikan terhadap persembahan Romelu Lukaku.

Bintang Perancis, Pogba, menonton perlawanan dari bangku simpanan untuk kali kedua tatkala kekalahan di Anfield itu menyaksikan United kini ketinggalan 19 mata dengan pendahulu liga itu dan 11 mata daripada pasukan tangga keempat, Chelsea.

Pasukan bimbingan Jurgen Klopp itu beraksi cemerlang sejak permulaan permainan dan hanya melakukan kesilapan kecil daripada Alisson yang membenarkan Jesse Lingard memadamkan gol pembukaan Sadio Mane.

Pemain gantian, Xherdan Shaqiri, pantas memberikan impak dengan dua percubaan yang terbias sebelum masuk ke dalam gol sambil Pogba tetap tidak dibawa masuk walaupun United bergelut untuk bangkit.

Ditanya sama ada pemain tengah itu difikirkan untuk berada dalam kesebelasan utama, Mourinho menjawab: "Tidak kerana saya gembira dengan Nemanja Matic, Lingard dan Ander Herrera."

Mourinho juga berpuas hati dengan Lukaku walaupun penyerang itu hanya menyentuh bola 20 kali tanpa melakukan sebarang percubaan.

Penggempur Belgium itu kini hanya mencatat enam gol dalam 22 penampilan musim ini.

"Saya rasa dia tidak melalui perlawanan yang buruk. Dia berjuang, melakukan pergerakan yang baik dan membuka ruang untuk jaringan," tambah Mourinho.

"Dia memberikan masalah lebih daripada musim lalu ketika dia masuk dalam aksi yang berakhir 0-0. Lukaku menunjukkan sumbangan yang baik serta pergerakan yang membantu pasukan.

"Kadangkala sentuhan pertamanya tidak begitu baik dan terlepas banyak bola tetapi ia tidak berlaku hari ini.

"Dia menunjukkan persefahaman baik dan berjuang. Lukaku sedang meningkat, bermain dengan baik ketika aksi terakhir berdepan Fulham dan hari ini mengalami sedikit kesukaran. Saya rasa dia dalam keadaan positif."