Kualiti yang dimiliki oleh Jose Mourinho menjadikan Manchester United sebagai pencabar terdekat Manchester City bagi merebut kejuaraan liga pada musim ini.

Perkara itu diakui oleh bekas bintang Chelsea, Frank Lampard, selepas menyaksikan Red Devils muncul pasukan paling konsisten mengekori City walaupun skuad kendalian Pep Guardiola itu mencatat 11 kemenangan hasil daripada 12 perlawanan serta mencatat 40 jaringan.

Meskipun Chelsea turut cuba mencabar kedudukan dua teratas, Lampard yang berpengalaman beraksi di bawah kendalian Mourinho dan memenangi liga, yakin pengurus dari Portugal itu mampu menterjemahkan kejayaan di Old Trafford pada musim ini.

“Sebab utama Manchester United mampu menjuarai liga adalah kualiti pemain yang mereka miliki.

“Manchester City mempunyai skuad yang kuat dan begitu juga dengan Chelsea tetapi apabila melihat kepada ketua jurulatih, United tampak lebih berpeluang cerah untuk bersaing dalam kejuaraan liga sehingga akhir musim,” katanya.

Dalam masa sama, Lampard juga mengakui kebolehan pengurus Chelsea, Antonio Conte, selepas tiba di Stamford Bridge ketika saat-saat sukar The Blues.

“Conte menyertai Chelsea tetapi pada saat mereka memerlukan kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

“Ketika itu adalah detik penting untuk kelab apabila berlaku perkara yang tidak normal dan bukan kebiasaan. Jadi, apabila dia tiba dan melakukan perubahan menggunakan kelompok pemain yang sama, Conte harus diakui kehebatannya,” tambah Lampard.

“Malangnya, di England orang ramai akan mula memperkatakan tentang jawatan anda apabila tidak berjaya mempamerkan persembahan yang baik untuk mengekalkan kejuaraan. Saya berharap Conte akan kekal lama di Stamford Bridge,” katanya lagi.