Jose Mourinho berpesan kepada Paul Pobga supaya menyesuaikan diri dengan mentaliti rakan sepasukannya selepas dia sekadar menjadi pemerhati dari bangku simpanan dalam kemenangan 4-1 ke atas Fulham dalam aksi Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Jaringan separuh pertama oleh Ashley Young, Juan Mata dan Romelu Lukaku meletakkan United di landasan kemenangan pertama mereka sejak lima perlawanan lalu.

Pemain gantian, Aboubakar Kamara, kemudian menyumbat penalti pada minit ke-67 untuk menyalakan harapan Fulham yang lemah sebelum terjejas dengan insiden kad kuning kedua yang dikutip Andre-Frank Zambo Anguissa ekoran kekasaran ke atas Marcus Rashford yang menutup tirai jaringan perlawanan tersebut.

Fred, yang direkrut dengan dana £52 juta (RM275.7j) diberi tanggungjawab untuk mengemudi bahagian tengah, begitupun Mourinho memberitahu sidang media selepas perlawanan, pemenang Piala Dunia bersama Perancis itu akan diberi peluang untuk menambat hatinya ketika berkunjung Valencia bagi aksi Liga Juara-Juara (UCL), pertengahan minggu nanti.

"Dia harus bermain dengan mentaliti yang sama dengan pasukan yang sedang bermain," kata pengurus United itu.

"Paul boleh menjadi pemain hebat, dia mempunyai potensi untuk menjadi pemain hebat.

"Menentang Valencia nanti, dia akan memulakan perlawanan dan perlu menyerlahkan permainan yang hebat dan menunjukkan kepada semua orang betapa bagusnya dia."

Pemain tengah United, Nemanja Matic dan Ander Herrera, mendapat pujian Mourinho kerana memberi tekanan kepada pasukan bermasalah kendalian Claudio Ranieri itu -- suatu elemen dalam permainan yang secara umumnya bukanlah kelebihan Pogba.

Lukaku, yang sekadar memanaskan bangku simpanan ketika bertemu Arsenal pertengahan minggu lalu, akhirnya menamatkan kemarau 997 minit tanpa gol di Old Trafford.

"Prestasi Romelu bertambah baik dalam perlawanan sebelumnya melalui cara dia memberi tekanan dan berjuang untuk pasukan," tambah Mourinho.

"Pasukan ini dalam keadaan baik, tidak banyak yang perlu dilakukan dalam babak kedua tetapi dalam babak seterusnya, (Phil) Jones dan (Chris) Smalling memacu pasukan.

"Kedudukan kami sangat padat sehingga tidak memberi sebarang peluang kepada Fulham dalam babak pertama."