EVERTON 5 TOTTENHAM 4

Jose Mourinho meluahkan rasa terkejut apabila Gareth Bale minta untuk diketepikan yang mendorong Tottenham tersingkir dalam pusingan kelima Piala FA kepada Everton.


Spurs mengheret perhitungan dengan tuan rumah itu ke masa tambahan sebelum tewas 4-5 menerusi jaringan kemenangan Bernard pada minit ke-97.

Davinson Sanchez memberikan pelawat pendahuluan pada minit ketiga di Goodison Park dan menyumbat satu gol lagi untuk menjadikannya kedudukan 3-3 sebelum sejam melewati perlawanan -- Erik Lamela terlebih dahulu mengurangkan defisit selepas Dominic Calvert-Lewin, Richarlison dan Gylfi Sigurdsson menemusi sentuhan penyudah dalam tempoh tujuh minit setengah.

Harry Kane muncul dari bangku simpanan untuk menjaringkan gol penyamaan buat Tottenham tetapi Richarlison menggandakan jaringannya, namun ketiadaan kelibat Bale di bangku simpanan menjejaskan usaha Mourinho untuk menyelamatkan situasi.



"Saya rasa adalah lebih baik saya yang mengatakannya," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan itu.

"Kami menentang West Bromwich pada Ahad lalu dan dia tidak beraksi. Pada Isnin pula, saya agak terkejut apabila dia ingin melakukan ujian imbasan selepas mengadu tidak selesa dengan beberapa kawasan di ototnya.

"Jadi, dia tidak berlatih pada Isnin dan keesokannya pula, dia berlatih dengan pasukan tetapi saya diberitahu bahawa keinginannya adalah untuk bekerjasama dengan pakar sains sukan selama beberapa hari ini bagi memperkuatkan bahagian otot itu. Itulah sebab mengapa dia tidak berada di sini.

"Saya tidak fikir itu adalah kecederaan yang nyata dan jelas.

"Saya menyimpulkan bahawa dia cuma berasa tidak selesa. Oleh kerana itu, dia tidak berada di tahap 100 peratus tetapi saya tidak menganggapnya sebagai kecederaan."