Mourinho bimbang Matic bakal berehat lama

Oleh Penulis Jemputan 29 November 2017 2077
Mourinho bimbang Matic bakal berehat lama
Jose Mourinho bimbang dengan kecederaan yang dialami Nemanja Matic ketika Manchester United meraih kemenangan 4-2 ke atas Watford bagi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.

Matic meninggalkan padang pada minit ke-54 dan digantikan oleh Ander Herrera, dengan kelebihan tiga gol United berkurang menjadi satu ketika perlawanan berbaki enam minit.

Jesse Lingard memastikan kemenangan The Red Devils tetapi Mourinho berasakan kehilangan khidmat pemain tengah Serbia itu merupakan kunci pasukannya bergelut di Vicarage Road.

"Matic yang meminta untuk digantikan, dia jarang melakukannya tetapi apabila dia meminta, dia memiliki sebab yang penting. Ia merupakan kecederaan otot.

"Kami hilang keseimbangan selepas Matic meninggalkan padang tetapi perkara paling penting, kami meraih tiga mata. Saya dapat melihat kegembiraan pemain-pemain beraksi dengan tenang," katanya.

Dua gol daripada Ashley Young dan Anthony Martial memberikan United kedudukan selesa mendahului permainan dalam babak pertama sebelum Troy Deeney menyempurnakan sepakan penalti dan gol daripada Abdoulaye Doucoure meletakkan pelawat dalam keadaan tertekan.

Selepas menamatkan kemarau empat tahun dengan tampil beraksi bersama The Three Lions, Young turut mengakhiri penantian 560 hari untuk menjaringkan gol pertamanya.

Jaringan kedua bek kiri itu adalah hasil sepakan percuma dan Mourinho gembira dengan persembahan yang dipamerkan Young.

"Young berlatih dan kerap menyempurnakan percubaan dalam sesi latihan. Jadi, dia memiliki keyakinan untuk melakukannya.

"Saya agak terkejut apabila Paul Pogba memberikan peluang kepadanya.

"Pada usianya yang meningkat 32 tahun, Young bermain dengan cemerlang dan saya amat gembira dengan prestasinya.

"Musim lalu, saya mempelajari gaya permainannya, dia kini lebih konsisten dalam persembahannya. Semangat dan pengalamannya amat diperlukan," katanya lagi.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen