Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, cuba meningkatkan perang saraf menjelang aksi 'derby' dengan menuduh pengurus Manchester City, Pep Guardiola, tidak berlaku jujur berkaitan dengan kecergasan David Silva.

Pemain tengah berpengaruh City itu meledak gol kemenangan ketika menjinakkan West Ham untuk mengekalkan pendahuluan lapan mata ke atas skuad bimbingan Mourinho itu di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL).

Bagaimanapun, pemain antarabangsa Sepanyol itu tidak ikut dalam perjalanan Liga Juara-Juara (UCL) menentang Shakhtar Donetsk, kelmarin, selepas Guardiola memberi rehat kepada beberapa pemain utama memandangkan pasukannya sudah layak ke peringkat kalah mati sebagai pemenang Kumpulan F.

Dalam sidang akhbar pra-perlawanan itu, bekas jurulatih Barcelona itu memaklumkan bahawa Silva dalam keraguan di Old Trafford nanti namun dia gagal menentukan masalah yang dihadapi pemain berusia 31 tahun itu.

Bercakap selepas kemenangan 2-1 ke atas CSKA Moscow, semalam, Mourinho tidak mengendahkan situasi itu sambil menyamakan tindakan itu serupa dengan Arsene Wenger, pengurus Arsenal yang mengatakan Alexandre Lacazette kononnya tidak akan berdepan United pada hujung minggu lalu, sebaliknya diturunkan lalu menjaringkan gol di Stadium Emirates.

"Kebenarannya, Eric Bailly tidak berkesempatan untuk aksi hujung minggu ini, Phil Jones dan (Marouane) Fellaini berpeluang, Zlatan (Ibrahimovic) mempunyai peluang besar dan (Nemanja) Matic tercedera tetapi pasti akan bermain," kata Mourinho dalam sidang akhbar.

"Saya memberitahu situasi sebenar, dia cedera tetapi pasti akan bermain. Tiada cerita seperti Lacazette atau David Silva."

Bercakap kepada BT Sport, Mourinho mengekalkan pendiriannya dengan mendakwa senario United adalah "sedikit lebih rendah" berbanding pesaing mereka itu.

Pengendali Portugis itu juga berdepan krisis kecederaan pada awal musim ini -- lalu melontarkan persepsi bahawa pasukan lawan sering mengadu tentang kecederaan, tetapi dia tidak.

"Tidak, kami tidak mengalami kecederaan," katanya.

"Lawan kami mempunyai semua isu ini. Mereka mempunyai masalah besar tetapi pada akhirnya semua pemain sedia diturunkan.

"Mereka mempunyai organisasi yang menakjubkan. Kami agak merendah diri.

"Apabila kami menghadapi masalah, kami mempunyai masalah. Apabila pemain mengalami kecederaan, mereka tercedera, saya akan memberitahu kamu kebenarannya."