Jose Mourinho percaya bahawa adalah "terlalu berisiko" buat Tottenham untuk mengadakan persahabatan sebelum mereka kembali mengharungi kempen Perdana Inggeris (EPL).

Spurs menikmati perlawanan persahabatan dengan Norwich City kelmarin -- aksi itu terbahagi kepada empat suku selama 30 minit -- dengan kedua-dua kelab berusaha meningkatkan kecergasan pemain sebelum sepak mula EPL yang berbaki sembilan perlawanan lagi.

Harry Kane, Moussa Sissoko, Son Heung-min dan Steven Bergwijn -- yang kesemuanya tercedera sebelum kempen musim ini dibekukan akibat COVID-19 -- turut terlibat.

Mourinho berhasrat untuk melangsungkan aksi ujian yang lain sebelum pertembungan getir dengan bekas kelabnya, Manchester United, minggu depan namun dia enggan mengambil risiko memandangkan jadual padat yang bakal ditempuhi.

"Kami tidak akan mengadakan perlawanan persahabatan lagi. Kami fikir ia langkah yang bagus tetapi ia terlalu berisiko," katanya di laman sesawang kelab itu.

"Kami akan melakukan minggu persiapan yang normal, bermula Isnin sampai Jumaat. Selepas itu, kami berehat dua hari kemudian berdepan West Ham, 10 hari berikutnya akan menjadi sibuk.

"Kami harus menyesuaikan diri dengan realiti baru ini, itulah yang kami sedang lakukan.

"Kami harus memikirkan bahawa setiap mata adalah untuk direbut. Dengan kehadiran peminat atau tidak, mata perlu direbut di atas padang. kami dan United harus berjuang untuknya."

Mourinho gembira kerana barisan pemainnya yang menikmati persiapan aksi tanpa peminat di Stadium Tottenham Hotspur sebagai protokol menangani COVID-19.

"Kami memerlukan detik, kami perlu tahu perasaan beraksi di sini tanpa penyokong sendiri dan peluang mengadakan sesi latihan ini di samping lawan dalam EPL adalah perkara terbaik," tambah jurulatih Portugal itu.

Spurs menghadapi tugas berat untuk lolos ke Liga Juara-Juara (UCL) musim depan -- mereka kini di tangga kelapan apabila tujuh mata dipisahkan dengan kelab di tempat keempat, Chelsea.