MANCHESTER UNITED 1 MANCHESTER CITY 2

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, berasakan persaingan takhta Liga Perdana Inggeris (EPL) sudah berakhir selepas Manchester City meraih kemenangan 2-1 di Old Trafford dan kini mendahului saingan dengan kelebihan 11 mata.


Jaringan daripada David Silva dan Nicolas Otamendi di antara gol penyamaan United oleh Marcus Rashford, memastikan kemenangan ke-14 berturut-turut buat City -- satu rekod baru saingan bola sepak Inggeris dalam satu musim.

Mourinho berang dengan keputusan pengadil, Michael Oliver, yang tidak memberikan sepakan penalti kepada Ander Herrera, sebaliknya melayangkan kad kuning kepada pemain itu yang dilihat merebahkan badan dalam kotak penalti.

Tetapi Mourinho percaya City memiliki tuah apabila berjaya mengungguli takhta liga -- salah satu faktor yang akan membantu mereka menjulang gelaran juara penghujung musim ini.

"Perebutan takhta liga mungkin sudah berakhir.

"City adalah pasukan yang berkualiti dan dilindungi oleh tuah dan semua dewa bola sepak berada di belakang mereka.

"Saya pasti semua akan bersaing mendapatkan mata dan cuba mengurangkan jurang ini tetapi kelebihan yang dimiliki mereka sangat baik," katanya.