Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, menyifatkan dirinya penat dengan kritikan yang diterima sambil mengingatkan mereka dengan 25 trofi kejuaraan yang pernah diraih.

Tatkala seteru utama, Pep Guardiola, sering mendapat pujian bersama Manchester City pada musim ini, Mourinho sering dikritik kerana taktikal permainannya.

Mourinho, yang bakal mengemudi pasukannya bertandang ke Stamford Bridge bertemu Chelsea pada malam ini, menjelaskan 25 trofi yang diraih adalah sesuatu yang diperlukan oleh setiap pengurus untuk disifatkan berjaya.

"Saya rasa 25 kejuaraan adalah jumlah untuk mengukur kejayaan seseorang pengurus," ujar Mourinho.

"Untuk sesetengah pengurus, mereka memerlukan satu lagi piala untuk sampai ke tahap itu.

"Ada yang memerlukan 25 trofi untuk mencapai tahap itu, ada yang empat dan mungkin juga ada pengurus yang memerlukan sehingga 12, 15 atau mungkin 24 piala lagi.

"Saya mempunyai 25 tetapi masih mahukan satu lagi kejuaraan. Mungkin apabila berjaya meraihnya, saya akan menerima pujian," katanya menyindir.

United kini menduduki tangga kedua Liga Perdana Inggeris (EPL) dan telah menjaringkan 23 gol dan City adalah satu-satunya pasukan yang melebihi jumlah itu dengan 35 jaringan.