Mount selamatkan Chelsea daripada diaibkan Southampton

Oleh Muzaffar Musa 20 Februari 2021 790
Mount selamatkan Chelsea daripada diaibkan Southampton
Gol sepakan penalti dalam babak kedua oleh Masont Mount memastikan Chelsea mengikat Southampton 1-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di gelanggang lawan sebentar tadi.

The Saints mendahului hasi percubaan pertama mereka di Stadium St Mary apabila Takumi Minamino menjadi pemain lawan pertama menjaringkan gol ke atas Chelsea sejak dibimbing Thomas Tuchel pada minit ke-33.

Mount memenangi sepakan penalti dan menyudahkannya dalam babak kedua untuk merekodkan jaringan EPL keempatnya musim ini -- kesemuanya ketika Chelsea beraksi di laman lawan -- untuk skuad The Blues itu melonjak ke tangga keempat.

Tandukan Jannik Vestergaard kemudian terkena palang tetapi Southampton sekurang-kurangnya menamatkan rekod enam kekalahan berturut-turut dan terpisah 11 mata daripada zon penyingkiran.

Kebanyakan percubaan awal Chelsea terbit menerusi Marcos Alonso, yang melepaskan satu voli daripada kedudukan terbaik selepas menerima umpanan Reece James.

Pasukan pelawat itu menikmati 73 peratus penguasaan bola dalam setengah jam pertama tetapi mereka hanya dapat melakukan percubaan tepat menerusi Antonio Rudiger yang mudah diselamatkan penjaga gol, Alex McCarthy.

Southampton kemudian meraih gol pendahuluan menerusi percubaan pertama mereka, Minamino mengatasi penjaga gol, Edouard Mendy, dan Cesar Azpilicueta sebelum menjaringkan gol selepas memanfaatkan hantaran mengelirukan Nathan Redmond.

 
The Saints kental bertahan sehingga minit ke-54 sebelum Mount menyudahkan sepakan penaltinya selepas dijatuhkan terjahan gegabah Danny Ings.

Skuad kendalian Ralph Hasenhuttl itu memberikan reaksi baik dan hampir kembali berada di depan apabila tandukan Vestergaard terkena palang biarpun Mendy telah tertewas.

Mount dan Callum Hudson-Odoi memberikan ancaman pada lewat permainan tetapi Chelsea menamatkan separuh masa kedua itu dengan hanya satu percubaan tepat dan kelihatan tumpul di depan gawang.

 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen