Frank Lampard percaya Mason Mount berhak untuk menggelarkan dirinya sebagai pemain Chelsea selepas meledak jaringan dalam dua perlawanan berturut-turut dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pemain berusia 20 tahun itu, yang merupakan produk akademi, meledak jaringan melepasi Tim Krul dalam separuh masa pertama ketika Chelsea merakamkan kemangan 3-2 ke atas Norwich City mlam tadi -- kemenangan pertama mereka musim ini.

Sentuhan penyudah Mount yang memiliki persamaan dengan jaringan idolanya, Lampard, hadir selepas kedua-dua individu itu bercakap secara peribadi sebelum perlawanan.

Lampard melakukan penilaian terhadap pemain tengah itu sama ada dapat menyesuaikan diri dengan corak permainannya dan persoalan itu terjawab dengan persembahannya dalam tiga aksi pembukaan EPL.

"Saya bercakap dengan Mount sebelum perlawanan dan bertanyakan kepadanya jika dia dapat berasakan seperti pemain Chelsea ataupun sebaliknya kerana ia sangat penting," kata Lampard selepas meraih kemenangan di Carrow Road.

"Dia hanya tersenyum. Seorang pemain muda yang penuh dengan keyakinan. Dia seorang pemain yang merendah diri dan memiliki etika kerja yang tinggi."
Lampard kini boleh menarik nafas lega seketika apabila merakamkan kemenangan pertama, keputusan yang tercetus menerusi inspirasi daripada penyerang, Tammy Abraham, yang meledak dua gol.

"Kami mahu memenangi perlawanan. Chelsea tidak boleh ketinggalan begitu jauh daripada persaingan dan kami tidak mahu bermula lambat.

"Chelsea mengalami permulaan yang sukar, namun saya tetap berpuas hati dengan persembahan The Blues."

Chelsea memiliki satu minggu untuk membuat persiapan berdepan aksi seterusnya di Sheffield United, cukup untuk memberikan masa buat Mount untuk pulih daripada kecederaan ringan yang dialami dalam perlawanan semalam.

"Mount mengalami kecederaan betis tetapi ia tidak begitu serius. Saya berharap dia dapat pulih secepat mungkin."