Alberto Moreno menggesa rakan sepasukan di Liverpool, Philippe Coutinho, untuk menolak tawaran menyertai Barcelona.

Pemain kebangsaan Brazil itu menjadi sasaran utama gergasi Sepanyol itu ketika jendela perpindahan yang lalu tetapi The Reds berjaya memastikan pemain berusia 25 tahun itu kekal di Anfield hingga Januari nanti.

Begitupun, Barcelona tidak melupakan hasrat mereka dengan menawarkan lagi kontrak untuk menandatangani pemain itu dan Moreno menyatakan dia akan cuba sedaya-upaya untuk memastikan rakannya itu kekal di Merseyside.

"Saya akan cuba memujuknya untuk kekal bersama pasukan.

"Dia adalah seorang pemain yang berkualiti. Dia melengkapkan jentera serangan Liverpool.

"Tetapi segala-galanya terletak kepada kelab, Barcelona dan dirinya. Jika dia tinggalkan pasukan, ia adalah satu kehilangan," katanya.

Coutinho dilihat bakal kembali dalam kesebelasan utama skuad Jurgen Klopp itu untuk perlawanan berdepan Southampton setelah terlepas tiga aksi kerana mengalami kecederaan pangkal paha.