CHELSEA 3 CRYSTAL PALACE 1

Pengendali Chelsea, Maurizio Sarri, menganggap Alvaro Morata seorang pemain yang berpotensi tetapi perlu berusaha meningkatkan kekuatan mentalnya.


Morata meledak dua kali ketika meraih kemenangan 3-1 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di laman sendiri ke atas Crystal Palace semalam, sekali gus meletakkan The Blues di tangga kedua.

Penyerang berusia 26 tahun itu telah menjaringkan empat gol dalam empat penampilan EPL selepas kembali meraih keyakinan serta pulih daripada kecederaan belakang yang dialami musim lalu.

Tetapi Sarri berasakan terdapat ruang yang boleh dipertingkatkan lagi daripada penyerang itu, yang kehilangan tempat dalam skuad Sepanyol selepas bergelut musim lalu.

"Morata mempamerkan peningkatan sejak bulan lalu," kata Sarri. "Peningkatan itu telah membantu keyakinannya beraksi di atas padang.

"Kini dia lebih memahami corak permainan pasukan. Dia seorang pemain yang memiliki kekuatan fizikal yang sangat baik.

"Bagaimanapun, dia perlu meningkatkan lagi kekuatan mentalnya untuk menghadapi tekanan ketika beraksi."