Penjaring gol kemenangan Chelsea ketika menentang Manchester United, Alvaro Morata, menyifatkan gol tersebut sebagai jaringan terpentingnya sejak tiba di Stamford Bridge.

Penyerang Sepanyol itu hampir menyertai Jose Mourinho di Old Trafford pada musim panas lalu, sebelum berubah fikiran untuk beraksi di bawah bimbingan Antonio Conte.

Dia turun menentang Red Devils selepas mengharungi enam perlawanan tanpa sebarang jaringan sehingga minit ke-55 apabila melonjak tinggi untuk menanduk masuk gol kemenangan The Blues.

Kemenangan itu meletakkan Chelsea hanya satu mata di belakang United, selepas anak-anak buah Mourinho kini dibezakan lapan mata dengan pasukan pendahulu, Manchester City, yang terlebih dahulu menundukkan Arsenal 3-1 di Etihad.

Apabila ditanya mengenai kepentingan jaringan kemenangan Chelsea itu, Morata tidak menafikannya.

"Sudah tentu. Sangat penting buat kami untuk menang. Kami mempunyai peluang terbaik pada hari ini untuk kembali ke landasan kemenangan.

"Kini kami gembira untuk menuju ke aksi antarabangsa selepas meraih tiga mata," katanya.