Pertahanan kebangsaan Sepanyol, Nacho Monreal, berkata Arsenal sangat beruntung kerana memiliki Alexis Sanchez dan Mesut Ozil di dalam pasukan.

The Gunners berada dalam proses perbincangan bersama dua pemain berpengaruh itu untuk melanjutkan kontrak mereka untuk terus kekal di Stadium Emirates.

Pengurus pasukan, Arsene Wenger, enggan memberikan jaminan masa depan pemain itu di dalam sidang media pada Khamis, selepas Sanchez dikaitkan dengan tawaran lumayan untuk beraksi di China.

Monreal menyifatkan prestasi cemerlang Arsenal musim ini ditunjangi oleh kedua-dua pemain itu.

"Sanchez dan Ozil merupakan antara pemain yang sangat berpengalaman," ujar Monreal kepada laman sesawang rasmi Arsenal.

"Setiap orang tahu kebolehan yang dimiliki mereka dan saya hanya boleh berkata Arsenal sangat beruntung kerana memiliki mereka.

"Ozil mampu bermain dengan cemerlang serta menggerakkan jentera serangan dengan baik.

"Sanchez merupakan seorang pemain yang sempurna. Dia mampu melakukan tandukan dengan baik walaupun dia bukan pemain yang tinggi. Dia mampu melakukan segala-galanya."