LIVERPOOL 2 SPURS 1

Harry Kane mengakui Tottenham terlepas peluang untuk membentuk momentum daripada kemenangan Liga Juara-Juara (UCL) ketika gagal mempertahankan kelebihan sebelum tewas 2-1 kepada Liverpool.


Selepas penyerang kebangsaan England itu menjaringkan gol ketika perlawanan baru sahaja berlangsung 47 saat pada separuh masa pertama, dia sekadar mampu melihat jaringan daripada Jordan Henderson dan Mohamed Salah mengubah keputusan perlawanan memihak Liverpool.

Spurs hadir ke perlawanan itu selepas merakamkan kemenangan 5-0 ke atas Red Star Belgrade, dengan ketua jurulatih, Mauricio Pochettino, berpandangan ia sebagai langkah permulaan kebangkitan Spurs.

Namun, Tottenham terpaksa menerima satu lagi kekalahan di Anfield, sekali gus menghuni tangga ke-13 selepas 10 perlawanan.

Menilai kekalahan tersebut, yang juga yang ketiga daripada lima perlawanan liga, pemain berusia 26 tahun itu memberitahu Sky Sports: "Anda melihat bagaimana kami memulakan perlawanan: bermain dengan niat untuk memberikan tekanan kepada lawan dan ia membantu kami meledak jaringan awal.

"Kami telah cuba segalanya untuk memenangi perlawanan tetapi tidak berhasil untuk kami. Ia amat mengecewakan dan saya enggan menuding jari kepada sesiapa.

"Setiap kali pasukan mengalamii kekalahan, ia amat mengecewakan. Kami mahu mendapatkan semula rentak dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL). Persembahan kami masih belum bagus.

"Apa boleh kami lakukan adalah melihat ke hadapan dalam pertemuan dengan Everton."

Pengurus, Mauricio Pochettino, tidak membantah keputusan penalti yang menyaksikan Serge Aurier dihukum kerana melakukan faul ke atas Sadio Mane.

"Saya tidak mempunyai sebarang ulasan terhadap penalti itu. Anda boleh memiliki pandangan yang berbeza, ia adalah keputusan yang adil.

"Kami telah mencari gol penyamaan dalam 10 hingga 15 minit terakhir dan berjaya menghasilkan peluang tetapi ia merupakan sesuatu yang mustahil."