Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, berkata Henrik Mkhitaryan masih belum bersedia untuk bermain dalam perlawanan besar sambil mendedahkan pemain bukan pilihan dari Armenia itu terlepas pertembungan menentang Arsenal minggu lalu kerana ia bertekanan tinggi.

Walaupun tiba di Old Trafford dengan pembelian besar daria Borussia Dortmund, Mkhitaryan seolah-olah tidak wujud dalam Liga Perdana Inggeris setelah tidak diturunkan sejak September lalu.

Pemain terbaik Bundesliga tahun lalu itu hanya bermain sekali sejak tewas kepada Manchester City dalam aksi 'derby', turun dari bangku simpanan ketika tewas kepada Fenerbahce dalam Liga Europa, pada awal bulan ini.

Mkhitaryan terus bergelut selepas Mourinho mendakwa perlawanan ketika seri 1-1 dengan Arsenal, Sabtu lalu, terlalu berat untuk dihadapinya ketika dia dilihat akan diberi peluang dalam perlawanan timbal balik Liga Europa menentang Feyenoord, Khamis ini.

"Saya berkata kepadanya, 'Ini (Arsenal) bukan permainan untuk kamu, saya tidak fikir kamu perlu 10 atau 20 minit dari bangku simpanan. Saya fikir kamu perlu permainan yang baik dan kamu perlu sama ada memulakan perlawanan ataupun berada pada awal separuh masa kedua'," kata Mourinho.

"Dia memerlukan tekanan yang kurang dan keadaan yang lebih baik untuk dia menunjukkan kualiti.

"Ya (dia semakin hampir). Saya memberitahu dia hari ini bahawa dia akan terlibat dalam perlawanan menentang Feyenoord.

"Jelas sekali, dia tidak gembira tetapi dia mengubah kekecewaannya dengan cara yang baik, di mana (dia) menutup mulut, bekerja keras dan cuba untuk menyesuaikan diri."