Perancang Arsenal, Henrikh Mkhitaryan, bakal direhatkan selama enam minggu selepas mengalami kecederaan patah metatarsal di kaki kanannya.

Pemain kebangsaan Armenia itu telah digantikan pada separuh masa ketika Arsenal tewas 2-0 dalam suku akhir Piala EFL kepada Tottenham di Stadium Emirates, Khamis lalu.

Pemain berusia 29 tahun itu menerima rawatan selepas diterjah oleh Lucas Moura pada minit ke-30 sebelum dikeluarkan selepas tamat 45 minit pertama perlawanan.

Mkhitaryan direhatkan ketika The Gunners merakamkan kemenangan 3-1 ke atas Burnley, Sabtu lalu, dan kekal diketepikan hingga bulan Februari nanti.

Dia bakal terlepas aksi berdepan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool, dan Chelsea manakala pertemuan berdepan Manchester City pada 3 Februari dijangka terlalu awal untuk menampilkannya semula.

Masalah sistem pertahanan Unai Emery berterusan dengan Nacho Monreal dijangka tidak dapat diturunkan berdepan Brighton and Hove Albion pada Rabu ini selepas mengalami kecederaan hamstring ketika berdepan Burnley.

Bagaimanapun, Shkodran Mustafi dijangka kembali berlatih sepenuhnya minggu ini selepas direhatkan dalam empat perlawanan terakhir Arsenal ekoran kecederaan hamstring.