Aleksandar Mitrovic telah kembali menyertai Fulham secara tetap dari Newcastle United menerusi perpindahan yang dilaporkan bernilai GBP22 juta (RM117 juta).

Penyerang itu menandatangani kontrak selama lima tahun di Craven Cottage dan akan menggunakan jersi nombor 9 pada musim depan.

Mitrovic menyertai Fulham secara pinjaman pada Januari lalu dan memainkan peranan utama ketika membawa mereka layak ke Liga Perdana Inggeris menerusi slot playoff, dengan mencatat 12 jaringan hasil daripada 18 penampilan.

"Saya sangat gembira dan bangga untuk kembali ke sini, secara rasmi bergelar pemain Fulham. Saya sangat gembira dapat kembali," katanya.

"Saya menyayangi peminat-peminat. Mereka adalah penyokong yang hebat dan saya mempunyai hubungan yang sangat baik dengan mereka.

"Ini adalah kelab yang besar dan kami mencipta sejarah pada tahun lalu, melakukan sesuatu yang hebat dan saya mahu meneruskannya. Kami mahu terus menghadirkan kejayaan besar bersama peminat-peminat yang berada di belakang kami.

"Saya yakin kami mampu melangkah jauh."

Mitrovic menyertai Newcastle dari Anderlecht pada Julai 2015 tetapi gagal menambat kepercayaan Rafael Benitez setelah hanya tampil enam kali dalam saingan Liga Perdana Inggeris, musim lalu.

Fulham bakal memulakan kempen 2018/19 di laman sendiri bertemu Crystal Palace pada 11 Ogos.