Pep Guardiola akan keberatan untuk menyekat Mikel Arteta sekiranya dia memiliki keistimewaan dan ditawarkan tugas mengendalikan Arsenal.

Arteta menamatkan kariernya selaku pemain bersama kelab utara London itu pada 2016 sebelum menyertai barisan kejurulatihan Guardiola di Manchester City.

The Gunners kini sedang mencari pengurus baru selepas Unai Emery dipecat susulan kekalahan 2-1 di tangan Eintracht Frankfurt dalam saingan Liga Europa, menyaksikan mereka gagal mencipta kemenangan dalam tujuh perlawanan.

Arteta telah terbukti menjadi ahli berpengaruh dalam barisan kejurulatihan yang diketuai Guardiola, terutama sejak Domenec Torrent meninggalkan pasukan bagi mengendalikan kelab Liga Bolasepak Utama (MLS), New York City, tahun lalu tatkala Raheem Sterling mendedahkan sesi latihan tambahan bersama bekas pemain tengah Everton itu telah membantu dalam perkembangannya.

Situasi itu bermakna jurulatih berusia 37 tahun itu dilihat sebagai pilihan untuk menggantikan Emery dan Guardiola bersikap realistik mengenai masa depannya pembantunya itu yang dikatakan berpotensi menjadi pengurus City di masa akan datang.

"Beberapa kali saya memberitahu pemain serta staf saya bahawa mereka bebas melakukan apa yang mereka mahu," katanya menjelang aksi Liga Perdana Inggeris di Newcastle United malam ini.

"Saya tidak mahu pemain tidak gembira kerana mereka tidak bermain. Saya mahu mereka kekal atas kemahuan sendiri.

"Dalam kes Arteta, mengenai hubungan, ia lebih kepada profesional. Dia seorang rakan dan saya mahukan yang terbaik untuknya.

"Saya mahu dia kekal di sini sehingga musim depan tetapi saya tidak tahu apa akan berlaku atau apa yang terbaik untuknya. Namun, esok adalah kunjungan ke Newcastle."

Sebelum ini, Arteta dilaporkan hampir menggalas tugas selaku pengendali Arsenal sebelum Emery dilantik sebagai ketua jurulatih di Stadium Emirates, 18 bulan lalu.

Tatkala seorang lagi bekas pemain Arsenal yang menjadi pilihan, Freddie Ljungberg, bersedia untuk mengemudi The Gunners dalam kunjungan ke Norwich City, Guardiola tidak pasti sama ada pengalaman pada 2018 akan memainkan peranan buat Arteta jika dia diberi tawaran dalam masa terdekat.

"Saya tidak tahu apa yang difikirkan pihak pengurusan Arsenal. Mengenai Arteta, kami kerap berbual tetapi saya tidak tahu perancangannya untuk masa akan datang," tambah pengendali dari Sepanyol itu.

"Ljungberg adalah pengurus sementara, saya tidak tahu jika mereka akan menghubungi Arteta dalam masa terdekat.

"Diharapkan, dia akan kekal bersama kami. Jika ada sebarang perkhabaran, saya fikir Arsenal akan menghubungi kelab. Saya tidak tahu."

"Satu penghormatan apabila sebuah kelab berprestij seperti Arsenal tertarik dengan staf kami. Ia satu keistimewaan, bagus buat Arteta dan kelab.

"Apa yang kami mahu adalah mengekalkannya dan diharapkan Arteta akan kekal."