Tiada kepastian mengenai masa depan James Milner di Liverpool selepas pemain veteran itu mendedahkan dia masih menantikan rundingan kontrak baru.

Kontrak pemain serba boleh itu akan berakhir hujung musim ini sejak dia tiba di Anfield secara percuma pada 2015.

Pemain berusia 33 tahun itu, yang membantu Liverpool memenangi Liga Juara-Juara (UCL) musim lalu, berkata dia tidak pernah mendengar perkhabaran daripada kelab mengenai sebarang tawaran baru.

"Kami pernah berbincang dengan kelab dan bertanya kepada mereka jika mereka mahu bertindak dan mereka mengatakan tidak buat masa itu," kata Milner kepada media UK.

"Kami belum mendengar apa-apa perkembangan lagi, jadi itulah situasi ketika ini.

"Apa yang boleh saya lakukan ialah memberi tumpuan kepada permainan sendiri dan melakukan apa yang terdaya tetapi daripada segi kontrak, itulah situasi yang sedang berlaku dan sejak itu, saya tidak pernah mendengar apa-apa perkembangan lanjut daripada kelab."

Milner telah membuat sekurang-kurangnya 40 penampilan dalam setiap empat musim di Liverpool, termasuk tampil dalam 45 perlawanan pada 2018-19.

Bekas pemain antarabangsa England itu yang sering menerima pujian daripada pengurus, Jurgen Klopp, berharap dapat kekal.

"Mengenai usia dan perkara seumpama itu, saya faham (lambat-laun) ia akan menghambat anda," kata Milner.

"Anda masih boleh bergantung kepada tiga perkara -- iaitu tahap kesediaan, kecergasan dan prestasi. Semoga saya boleh beraksi dengan ketiga-tiga elemen tersebut."