James Milner kecewa dengan sentuhan penyudah Liverpool dan berasakan mereka seharusnya meraih keputusan lebih baik berbanding seri 1-1 dengan Arsenal, awal pagi tadi.

Milner meledak jaringan peribadi ke-50 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk meletakkan Liverpool di depan sebelum Alexandre Lacazette menyamakan kedudukan pada penghujung permainan bagi memastikan tuan rumah berkongsi satu mata.

Virgil van Dijk hampir meledak jaringan dua kali sementara percubaan Sadio Mane dinafikan kerana berada dalam kedudukan ofsaid.

Keputusan ini menyaksikan Liverpool ketinggalan dua mata di belakang Manchester City jika juara bertahan itu gagal mengatasi Southampton, malam ini.

"Kami sangat kecewa apabila gagal meraih mata penuh di Stadium Emirates," kata Milner.

"Liverpool mendahului 1-0 dalam separuh masa kedua tetapi gagal memastikan kemenangan.

"Dengan peluang yang dicipta, kami seharusnya menjaringkan lebih banyak gol.

"Kami berpuas hati kerana menghasilkan peluang tetapi perlu menggunakan peluang untuk memastikan kemenangan," katanya.