Mark Hughes percaya Simon Mignolet seharusnya dibuang padang kerana menjatuhkan Mame Biram Diouf pada awal permainan sebelum mereka tewas 3-0 kepada Liverpool.

Mignolet sekadar menerima kad kuning kerana menjatuhkan Diouf di luar kotak penalti selepas penyerang itu berpeluang untuk menjaringkan gol buat tuan rumah di Stadium bet365.

Sadio Mane membuka jaringan seawal minit ke-17 sebelum Mohamed Salah menghasilkan dua gol pada babak kedua perlawanan.

Hughes berasakan keputusan setimpal harus diberikan kepada penjaga gol itu di samping ia mungkin boleh mengubah keputusan perlawanan itu.

"Diouf telah berjaya memintas Mignolet, kemudian dia menjatuhkan penyerang itu dan pengadil harus melayangkan kad merah," kata Hughes.

"Ia merupakan peluang buat kami. Pada pendapat saya, Stoke mampu bermain dengan cemerlang dan jika Liverpool kehilangan seorang pemain, mereka akan menghadapi masalah besar."

Kekalahan itu meletakkan Stoke di tangga ke-16, yang memiliki kelebihan tiga mata di atas zon penyingkiran menjelang pertemuan berdepan Swansea.

"Kami akan mengharungi perlawanan yang penting dan kami perlu mengulangi usaha yang sama.

"Stoke perlu kembali melakar kemenangan," katanya lagi.