Penjaga gol, Simon Mignolet, menyatakan Liverpool perlu segera melupakan aksi pada Ahad lalu yang "mengecewakan" apabila seri 1-1 dengan Newcastle United untuk meletakkan fokus terhadap perlawanan akan datang.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu mendahului perlawanan di St. James' Park menerusi jaringan daripada Philippe Coutinho, bagaimanapun bolos tujuh minit kemudian hasil gol daripada penyerang Newcastle, Joselu.

Secara rumusan, Liverpool gagal menyempurnakan peluang terhidang serta memberikan terlalu banyak ruang kepada pasukan lawan untuk mencipta jaringan.

The Reds sekadar memenangi sekali dalam tujuh perlawanan, dengan Manchester United bakal menjadi lawan seterusnya selepas kembali daripada aksi perlawanan antarabangsa.

"Jika anda berkunjung ke tempat lawan dan meraih keputusan 1-1, ia amat mengecewakan. Anda akan mula melihat kepada perkara yang seharusnya dilakukan dengan lebih baik," kata Mignolet.

"Saya berasakan kami bermain dengan baik, berhak meraih kemenangan dan mencipta peluang untuk menjaringkan gol.

"Ia amat mengecewakan tetapi kami harus melihat ke hadapan. Kami akan berusaha untuk mempamerkan aksi yang cemerlang ketika berdepan Manchester United, ia adalah perlawanan yang sangat penting dan mampu mengubah nasib kami," tambahnya.