LIVERPOOL 2 SPURS 1

Jordan Henderson mengakui mentaliti yang dimiliki Jurgen Klopp bersama Liverpool membenarkan mereka bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Tottenham 2-1 di Anfield.


Harry Kane menjaringkan gol seawal 47 saat selepas perlawanan dimulakan untuk mendahului Liverpool, yang bergelut mencari jalan menembusi pertahanan Spurs sehinggalah Henderson menyamakan kedudukan pada minit ke-52.

Sadio Mane diterjah dalam kotak penalti oleh Serge Aurier 15 minit sebelum perlawanan tamat, memberikan ruang kepada Mohamed Salah yang tenang menyumbat sepakan penalti bagi membenarkan The Reds meraih kemenangan kesembilan daripada 10 perlawanan EPL musim ini.

Diminta mengulas apa yang mendorong Liverpool untuk bangkit, Henderson membalas kepada Sky Sports: "Mentaliti.

"Ia telah mula dibentuk sejak beberapa tahun lalu. Klopp telah banyak meningkatkan keyakinan kami dan mentaliti yang dimilikinya amat menakjubkan untuk pasukan.

"Setiap kali kami berdepan kesukaran, kami bangkit mencari jalan dan ia adalah momentum terbaik bagi musim ini.

"Tetapi setiap pemain turut saling mempercayai kemampuan masing-masing."

Mane mengakui dia berjaya mencari peluang untuk meraih sepakan penalti apabila memaksa Aurier untuk melakukan terjahan terhadapnya.

Pemain kebangsaan Senegal itu meluahkan keinginannya untuk mengatasi Manchester City dan menjulang gelaran EPL.

"Selepas ketinggalan 1-0, saya hanya memikirkan kami perlu kembali bangkit. Kami saling memberikan sokongan antara satu sama lain, menghasilkan peluang dan akhirnya berjaya menjaringkan dua gol dan memenangi perlawanan ini.

"Sejujurnya, sepakan penalti yang diberikan berhak diterima Liverpool. Saya mengetahui Aurier berusaha untuk merampas bola, jadi saya cuba menghalangnya dan tuah memihak saya.

"Setiap kemenangan penting bagi kami. Saya mengetahui masih awal untuk membincangkan tentang gelaran EPL tetapi apa salahnya? Kami mahu memenanginya."