LIVERPOOL 0 BRIGHTON 1

Jurgen Klopp percaya Liverpool mengalami kelelahan mental berikutan tumbang 0-1 kepada Brighton & Hove Albion di laman sendiri, awal pagi tadi, secara tidak langsung memberikan satu lagi tamparan kepada harapan mereka untuk mempertahankan Liga Perdana Inggeris (EPL).


Juara bertahan itu hanya membuat satu percubaan tepat untuk menempa rentetat kekalahan di Anfield, di mana mereka gagal menghasilkan sebarang gol dalam tiga perlawanan liga berturut-turut buat pertama kalinya sejak 1984.

Manchester City, yang akan bertandang ke Merseyside untuk pertembungan getir tengah malam Isnin depan, kini tujuh mata di depan The Reds selain mempunyai baki satu perlawanan.

Klopp berkata, Brighton sememangnya berhak meraih kemenangan mengejut itu bagi meredakan tekanan mereka menjauhi zon penyingkiran sambil menganggap barisan pasukannya -- yang kehilangan penjaga gol, Alisson Becker, sebelum sepak mula akibat masalah kesihatan -- mula berasa bahang jadual padat.

"Jelas sekali kami beraksi menentang seteru yang sangat mantap," kata pengurus Liverpool itu kepada BT Sport.

"Kami kelihatan tidak segar secara mental. Mereka memang layak menang. Kami mahu beraksi lebih baik dan lebih meyakinkan. Kami kehilangan terlalu banyak bola dalam situasi yang terbuka. Saya tahu pemain mampu membuat hantaran dari titik A ke B tetapi hari ini untuk sampai ke titik B itu nampaknya tidak tercapai.

"Kami mengharungi minggu yang sangat sukar. Brighton merupakan pasukan yang gemar menguasai bola. Kami tidak segar pada malam ini dan ketika itulah anda harus mencari jalan. Setiap pemain mampu beraksi lebih baik daripada apa yang mereka lakukan malam ini. Saya sudah masak dengan mereka, bukannya mereka enggan berusaha. Ada sebab lain ia berlaku."




Pengurus Jerman itu menambah: "Anda telah menyaksikan apa berlaku dan perlu mengkaji apa yang tidak kena.Satu-satunya penjelasan yang ada ketika ini adalah pasukan saya kelesuan yang menjuruskan mengenai mental.

"Ia tidak membawa kesegaran maksimum di kaki anda. Brighton memang berhak menang, mereka beraksi dengan baik dan melakukannya dengan baik.

"Kami mempunyai peluang tetapi mereka lebih layak. Mereka adalah pasukan yang bagus. Kami harus bertahan dengan banyak melakukan larian, tiada formasi di dunia di mana anda akan selalu berada di tempat yang tepat.

"Cara terbaik untuk bertahan menentang pasukan seperti ini adalah dengan menguasai bola tetapi kami tidak dapat melakukannya pada malam ini.

"Satu-satunya perkara yang boleh kami buat ialah dengan menggunakan sumber yang ada dan belajar daripadanya. Penyelesaiannya terpulang kepada pemain sendiri. Sudah seminggu mereka berdepan tempoh yang sukar dan malam ini (persembahan mereka) tidak memadai. (Manchester) City dalam prestasi hebat sementara kami harus mencari jalan keluar."