Manchester City mengumumkan pertahanan pasukan, Benjamin Mendy, menjalani pembedahan lutut, namun tidak mendedahkan berapa lama pemain itu akan direhatkan.

Pertahanan kiri itu diturunkan ketika kemenangan 3-1 City ke atas musuh setempat, Manchester United, namun terpaksa digugurkan skuad kebangsaan Perancis selepas mengalami kecederaan meniskus lutut kiri.

City mengeluarkan kenyataan yang mengesahkan Mendy menjalani pembedahan itu di sebuah klinik di Barcelona, awal pagi tadi.

"Manchester City mengesahkan Benjamin Mendy selesai menjalani pembedahan lutut kiri malam ini," jelas kenyataan rasmi berkenaan.

"Pemain kebangsaan Perancis itu bermain selama 90 minit ketika kemenangan 3-1 ke atas Manchester United.

"Dia mendaftarkan diri sebelum digugurkan pasukan kebangsaan tersebut.

"Pemain berusia 24 tahun itu menjalani pemeriksaan kesihatan di Klinik Dr. Cugat di Barcelona yang mendapati pembedahan segera perlu dilakukan.

"Pembedahan dijalankan pada sebelah petang dan kami di Manchester City mendoakan Benjamin segera pulih."

Mendy pernah mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) lutut kanan pada September 2017 dan terpaksa direhatkan sehingga 22 April lalu.

Kecederaan kali ini kurang serius berbanding itu, namun belum ada kepastian tentang selama mana dia akan direhatkan.