MANCHESTER CITY 2 CRYSTAL PALACE 3

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, mempertahankan keputusannya untuk meletakkan Kevin de Bruyne dan Sergio Aguero di bangku simpanan ketika pasukannya tewas 2-3 kepada Crystal Palace dalam saingan Liga Perdana Inggeris, malam tadi.


Dalam aksi di Stadium Etihad itu, De Bruyne masuk sebagai pemain gantian dan menjaringkan gol pada minit ke-85 yang bagaimanapun belum cukup untuk menafikan kemenangan Palace.

Jaringan Jeffrey Schlupp dalam separuh masa pertama memadam kelebihan City yang terlebih dahulu di depan menerusi penyudah Ilkay Gundogan.

Palace melebarkan jurang mata menerusi jaringan menarik Andros Townsend sebelum gol sepakan penalti daripada Luka Milivojevic menyerlahkan lagi kepincangan pasukan tuan rumah.

Kekalahan itu menyaksikan City kekal ketinggalan empat mata di belakang pendahulu liga, Liverpool.

Mereka akan berdepan Leicester City dan Southampton sebelum membuat perhitungan dengan skuad kendalian Jurgen Klopp itu, 3 Januari ini.

"Ketika kami menang, saya seorang genius.

"Ketika kami kalah, saya tidak bagus," kata pengurus City itu dalam sidang media pasca-perlawanan.

"Saya tidak tahu apa akan berlaku jika saya meletakkan Kevin dan Sergio dalam kesebelasan utama.

"Fernandinho tidak dapat diturunkan akibat kecederaan.

"John Stones bermain dengan baik di bahagian tengah ketika kami berdepan Leicester.

"Saya cuba untuk memberikan kelainan dalam memenangi situasi bola tinggi.

"Dia bermain dengan baik dan hanya melakukan satu kesilapan.

"Saya meminati pemain yang mampu menyesuaikan diri di posisi yang luar daripada keselesaan mereka," katanya lagi.

Dengan jadual padat yang menanti juara bertahan itu, Guardiola menafikan yang dia terlalu menjaga kedua-dua aset berharga pasukannya itu.

"Dia sudah boleh diturunkan, namun saya memilih untuk menggunakan pemain lain," katanya mengenai De Bruyne yang baru pulih daripada kecederaan lutut.

"Gabriel Jesus menjaringkan dua gol dalam perlawan terakhir kami (menentang Everton).

"Sergio pula memerlukan masa untuk kembali mendapatkan rentak terbaik.

"Prestasi Kevin semakin baik.

"Kami akan menggunakan enam atau tujuh pemain yang lebih cergas pada masa akan datang.

"Apabila berdepan jadual padat, semua pemain perlu diturunkan.

"Setiap pemain yang terpilih perlu mengeluarkan segala yang mereka ada," tambahnya.