Scott McTominay mendedahkan terdapat kebarangkalian buat dirinya meninggalkan Manchester United secara pinjaman tetapi dia memilih untuk kekal dan membuktikan dia berhak kekal di Old Trafford.

Pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) sering meminjamkan barisan pemain muda, membenarkan mereka mendapatkan masa permainan dalam kesebelasan utama pasukan lain bagi meningkatkan perkembangan mereka.

McTominay kelihatan meninggalkan United pada satu tahap namun memilih untuk kekal bersama pasukan.

Pemain tengah Scotland itu melakukan penampilan sulung di bawah kendalian Jose Mourinho ketika tewas 2-0 kepada Arsenal Mei 2017 dan ketika pengendali kelahiran Portugal itu tidak lagi mengendalikan United, dia terus berkembang di bawah pimpinan Ole Gunnar Solskjaer.

Di sebalik peningkatannya bersama sebuah kelab terbaik dunia, McTominay menegaskan betapa pentingnya untuk memilih jalan yang terbaik bagi perkembangan diri sendiri.



"Beberapa tahun yang lalu, saya hampir untuk dipinjamkan keluar tetapi terdapat pemain lain yang meninggalkan pasukan. Kemudian peluang hadir dan anda harus menggunakannya dengan sebaik mungkin.

"Anda sering mendengar pemain-pemain muda dipinjamkan kepada kelab lain tetapi saya tidak mahu jalan itu untuk diri saya. Saya pilih untuk membuktikan kemampuan bersama pasukan dan itu adalah matlamatnya," katanya.

McTominay membuat 20 penampilan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum saingan ditangguh ekoran penularan koronavirus.