Kylian Mbappe akan berdepan kesukaran untuk menembusi pasukan utama Liverpool, kata legenda skuad The Reds itu, Bruce Grobbelaar.

Penyokong Liverpool mahukan kelab itu menandatangani penyerang Paris Saint-Germain (PSG) dan Perancis berkenaan selepas terdapat spekulasi bahawa Jurgen Klopp mahukan pemain bintang itu menyertai pasukannya, yang merupakan juara baru Liga Perdana Inggeris.

Pembelian seperti itu sudah lama diinginkan oleh pemilik Liverpool, Fenway Sports Group (FSG), memandangkan Mbappe hanya berusia 21 tahun dan berpotensi untuk menjadi bintang global bagi tahun-tahun mendatang.

Tetapi Grobbelaar menegaskan pemenang Piala Dunia itu mungkin tidak akan berdepan laluan mudah untuk menembusi kesebelasan utama Liverpool.

"Jika dia datang ke Anfield, dia pasti perlu membuktikan dirinya benar-benar bernilai pada masa akan datang dan ia hanya sekiranya dia datang ke sana," katanya kepada Stats Perform News.

"Kita tidak tahu bagaimana situasinya. Ia terpulang kepada Klopp dan FSG untuk mendedahkan sesuatu yang mungkin berlaku pada musim depan.

"Tetapi sesiapa sahaja yang datang ke Anfield, anda dapat lihat (Takumi) Minamino, mereka perlu mempamerkan peningkatan yang amat besar untuk menyertai pasukan ini," katanya.

Grobbelaar mendakwa setiap pemain bola sepak yang tidak mahu menyertai Liverpool "perlu berjumpa doktor secepat mungkin".

Bekas penjaga gol yang mewakili Liverpool dari 1981 hingga 1994 itu pernah menjulang enam kejuaraan liga utama England, tiga gelaran Piala FA dan satu Piala Eropah.

Dia tahu keterujaan unruk menjadi sebahagian daripada kejayaan pasukan di Anfield itu tetapi dapat melihat sesetengah pemain, seperti Dejan Lovren dan Xherdan Shaqiri, akan meninggalkan pasukan itu dalam masa terdekat.

"Pasukan itu amat hebat dan pada tahap ini, ia terpulang kepada FSG dan penasihat Klopp untuk menentukan pemain mana yang akan kekal dan pemain mana yang akan pergi.

"Bagi saya, saya fikir akan ada pemain yang akan meninggalkan pasukan itu kerana mahu beraksi dalam kesebelasan utama.

"Dengarlah, buat masa ini, setiap pemain mahu datang dan bermain di Liverpool kerana pasukan itu adalah juara Liga Perdana dan sesiapa yang tidak mahu ke sana perlu segera bertemu dengan doktor.

"Ia kerana mereka adalah pasukan terbaik dan akan kekal seperti itu bagi beberapa tahun akan datang," katanya lagi.