Neal Maupay mendakwa Arsenal 'berhak terima kekalahan' setelah dia meledka gol kemenangan pada penghujung permainan sebelum bertembung dengan penjaga gol The Gunners, Bernd Leno.

Penyerang Brighton dan Hove Albion itu dilihat sebagai wira berkontroversi untuk pasukan tuan rumah, yang memperoleh kemenangan 2-1 di Stadium Amex untuk melonjak lima mata daripada zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.

Maupay terlibat dalam insiden babak pertama yang mengerikan, di mana pertembungan dengan Leno menjadi punca pemain kelahiran Jerman itu mengalami kecederaan lutut yang kelihatan serius.

Arsenal, yang ditewaskan 3-0 oleh Manchester City Rabu lalu, nampaknya gagal menggunakan kelebihan apabila mendahului perlawanan menerusi jaringan Nicolas Pepe pada minit ke-68.

Tetapi Lewis Dunk menyamakan kedudukan tidak lama kemudian dan Maupay memastikan Arsenal terus merekodkan kekalahan pada penghujung permainan.



"Pada separuh masa, saya pergi berjumpa dengan pengurus Arsenal, Mikel Arteta, untuk meminta maaf," kata Maupay kepada BT Sport.

"Saya tidak bermaksud untuk mencederakan penjaga gol. Saya melompat untuk bola. Saya meminta maaf kepada pasukan dan juga kepadanya. Saya pernah mengalami kecederaan yang teruk dan ia amat sukar untuk diharungi.

"Pemain Arsenal kadang-kadang perlu belajar untuk merendah diri. Mereka banyak bercakap. Mereka mendapat apa yang mereka layak.

"Saya baru saja mendapatkan bola. Ketika dia mendarat, dia memusingkan lututnya. Ini adalah bola sepak, sukan yang memiliki sentuhan. Saya tidak pernah bermaksud menyakitinya. Saya minta maaf sekali lagi dan semoga Leno cepat sembuh."