Matthaus anggap ego Guardiola punca kegagalan

Oleh Shaiful Shamsudin 3 September 2020 4680
 Matthaus anggap ego Guardiola punca kegagalan
Pep Guardiola telah membiarkan egonya semakin berkembang dalam usahanya untuk mengakhiri penantiannya meraih kejayaan Liga Juara-Juara (UCL), menurut ikon Bayern Munich, Lothar Matthaus.

Pengurus berbangsa Catalan itu pernah memenangi kejohanan kelab utama Eropah tersebut sebanyak dua kali dalam tempoh empat tahun di Barcelona tetapi gagal dalam ketujuh-tujuh percubaan bersama Bayern dan Manchester City.

City mengalami kekalahan mengejutkan 1-3 kepada Lyon di peringkat separuh akhir 2019-20 sementara Guardiola dikritik beberapa pihak berhubung pemilihan formasi dan barisan pemainnya. 

Justeru, Matthaus mempersoalkan Guardiola, yang pernah menikmati banyak koleksi kejayaan di peringkat domestik bersama Bayern dan City, sering berasakan keperluan untuk mengubah formula kemenangan.

 

"Pep Guardiola sering menjurus kepada melakukan sesuatu yang istimewa dalam perlawanan besar," katanya kepada Sport Bild.

"Barcelona mempunyai DNA, sebuah sistem yang dibentuknya. Pep berjaya di sana. Di Bayern dan City pula, dia berulang kali menerapkan kelainan dan gagal berulang kali.

"Dia terlalu mahu menunjukkan bahawa dia dapat melakukan yang lebih baik lagi. Saya ingin memberitahunya: Pep, anda adalah pengurus handalan -- tetapi tolong jaga sistem anda!

"Saya akan menggambarkannya sebagai seorang yang mempunyai ego yang sangat tinggi. Itu kata-kata yang kasar tetapi ia didorong oleh apa yang telah dilakukannya. Di Bayern, bahkan Robert Lewandowski pernah diletakkan di bahagian sayap kiri, ia sama sekali tidak berhasil."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen