Pertahanan Liverpool, Joel Matip, memberikan pujian kepada Philippe Coutinho selepas mempamerkan persembahan yang mantap ketika menundukkan West Brom.

Pemain kebangsaan Brazil itu memulakan saingan Liga Perdana Inggeris musim ini dengan baik selepas meledak gol ketika menang 2-1 ke atas West Brom pada Sabtu.

Coutinho kini telah meledak empat gol dan dua bantuan jaringan dalam sembilan perlawanan liga, membantu skuad bimbingan Jurgen Klopp menduduki tangga ketiga liga.

Matip memuji persembahan pemain berusia 24 tahun itu dan selalu melihatnya dalam sesi latihan.

"Jika kamu berdepan Coutinho dalam sesi latihan, ia sama seperti di atas padang," kata Matip kepada Liverpool Echo.

"Sukar untuk berdepannya, dia mampu mencipta sesuatu yang menakjubkan ketika memiliki bola.

"West Brom adalah pasukan yang kuat tetapi kami berjaya menewaskan mereka. Kami gembira kerana memungut tiga mata penuh."

Jaringan Sadio Mane dan Coutinho memberikan kawalan penuh buat Liverpool sebelum Gareth McAuley menjaringkan gol sagu hati buat The Baggies.