Tonggak tengah Manchester United, Nemanja Matic akui kecewa apabila sekadar seri 2-2 berdepan Southampton dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada pagi Selasa.

Namun, pemain antarabangsa Serbia itu memberi jaminan dia dan rakan sepasukan komited memastikan United menamatkan saingan musim ini di empat tempat teratas untuk memastikan layak ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Dalam aksi berdepan Southampton, United dikejutkan pelawat menerusi jaringan awal Stuart Armstrong pada minit ke-12, namun bingkas bangkit menerusi jaringan Marcus Rashford dan Anthony Martial sebelum Micheal Obafemi meraih gol penyamaan pada masa kecederaan.

“Ia sukar untuk kami terima, dibolosi pada hujung perlawanan tetapi inilah bola sepak dan kini kami perlu segera bangkit untuk aksi berdepan Crystal Palace.

“Kini segala-galanya di tangan kami untuk memastikan layak ke UCL musim depan, jika kami menang baki tiga perlawanan kami akan layak.

“Pencabar lain seperti Chelsea juga mempunyai baki perlawanan sukar dan kami akan beri aksi terbaik dalam baki perlawanan liga,” kata Matic ketika temubual pasca perlawanan dengan Stadium Astro pada Selasa.



Keputusan seri dengan Southampton menyaksikan United kekal di tangga kelima EPL dengan 59 mata, dibezakan dengan jaringan dengan Leicester di tangga keempat dan hanya satu mata di belakang Chelsea di tempat ketiga.

Dalam pada itu, bekas jurulatih United, Rene Meulensteen menyifatkan gandingan trio serangan Mason Greenwood, Rashford dan Martial masih belum mencapai tahap trio Cristiano Ronaldo, Wayne Rooney dan Carlos Tevez di United sebelum ini.

Meskipun gembira menyaksikan gandingan trio serangan itu kini, Meulensteen percaya mereka pelu terus menggandakan usaha untuk terus menjadi lebih baik.

“Sukar nak membandingkan mereka dengan gandingan Ronaldo, Rooney dan Tevez kerana gandingan ini memenangi pelbagai kejuaraan.

“Mereka memerlukan sedikit masa intuk Menjadi lebih ampuh, terapi apa yang membanggakan dua daripada tiga penyerang utama United adalah produk akademi.

“Ia penting buat United terus menghasilkan pemain muda berkualiti buat skuad utama pasukan,” kata Meulensteen ketika menjadi tetamu siaran langsung aksi United-Southampton di saluran CH813 Astro Supersport pada Selasa.