Matic fokus United, tolak sertai Serbia 

Oleh Shaiful Shamsudin 29 Ogos 2020 278
Matic fokus United, tolak sertai Serbia 
Pemain tengah Manchester United, Nemanja Matic, telah pun menggantungkan but di pentas antarabangsa, menurut Pengarah Sukan Serbia, Vladimir Matijasevic.

Laporan mengaitkan Matic memilih untuk bersara daripada skuad Serbia berlegar walaupun namanya dimasukkan dalam skuad terbaru negara itu menjelang kempen Liga Negara-Negara Eropah bertemu Russia dan Turki minggu depan. 

Matijasevic, yang bertugas sebagai pengarah Persatuan Bolasepak Serbia (FSS), mengesahkan keputusan itu, semalam. 

Dia mengakui Matic memutuskan untuk tidak lagi bersama pasukan kebangsaan bagi memberi ruang kepada pemain muda.

Bintang berumur 32 tahun itu telah mewakili negaranya sebanyak 48 kali sejak 2008 termasuk beraksi dalam Piala Dunia 2018, tetapi keutamaannya ialah untuk United.

"Ketika saya menyertai FSS, saya sempat bercakap dengan Aleksandar Mitrovic, Luka Milivojevic dan Matic," kata Matijasevic yang dipetik daripada Serbia Tanjug.

"Nemanja berjanji untuk kembali, bagaimanapun dia mempunyai agendanya yang tersendiri yang tiada mempunyai kaitan dengan kami.
 

"Dia tidak menyatakan sebarang alasan yang lebih spesifik - dia tahu mengapa ini terjadi dan menganggap sudah tiba waktunya untuk pemain muda menggantikannya.

"Saya ulangi, ini bukan satu pujukan tetapi sekadar perbualan biasa. Saya menghormati keputusannya. Dia sudah berusia 32 tahun, dia telah berdepan musim yang sukar jadi kami perlu memahami. 

Bekas bintang tengah Chelsea itu menikmati kebangkitan prestasi sejak awal tahun ini apabila tampil dalam 15 daripada 18 perlawanan EPL sebelum memeterai perjanjian baru selama tiga tahun. 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen