Manchester United kini sedang berbincang dengan Nemanja Matic mengenai kontrak panjang baru selepas mengaktifkan lanjutan setahun pemain tengah itu.

Stats Perform dimaklumkan The Red Devils kini telah menggunakan pilihan lanjutan kontrak Matic yang sepatutnya tamat hujung musim ini.

Perbincangan itu juga mampu membawa kepada kontrak baru sekali gus menyaksikan Matic kekal di Old Trafford selepas kempen 2020-21.

Berita itu muncul selepas Matic menjadi watak utama dalam perancangan pengurus pasukan, Ole Gunnar Solskjaer, hanya beberapa bulan selepas pemain berusia 31 tahun itu mengakui dia mula mempertimbangkan masa depannya, tahun lalu.

Pemain Serbia itu hadir daripada Chelsea pada 20198 menerusi yuran berjumlah GBP40 juta (RM211 juta) tetapi hanya mengisi tiga kesebelasan utama dalam Liga Perdana Inggeris sebelum 2020.

Bercakap kepada Stats Perform tentang perancangannya ketika ditemui Disember lalu, dia berkata: "Sejujurnya, saya tidak tahu apa yang akan dilakukan.

"Saya bercakap dengan kelab, memaklumkan saya akan lakukan yang terbaik sehingga ke hari terakhir bersama pasukan serta bersikap profesional.

"Dalam bola sepak, anda tidak akan tahu apa yang bakal berlaku. Keluarga saya gembira di sini, begitu juga saya. Jadi, lihat nanti langkah seterusnya. Jika saya perlu pergi atau kekal tetapi saya pasti ia akan dilakukan demi yang terbaik."

Januari lalu, Matic mengakui terdapat beberapa buah kelab cuba mendapatkan khidmatnya memandangkan dia memasuki tempoh enam bulan terakhir dalam kontrak tetapi secara jelas dia membuktikan mahu kekal di United.

"Saya tidak boleh dedahkannya tetapi apabila menyarung jersi United, banyak kelab cuba dapatkan anda," tambahnya.

"Pilihan pertama saya adalah United tetapi jika mereka membuat keputusan berbeza, sentiasa akan ada penyelesaian."