Edin Dzeko gembira bersama Roma tetapi bekas penyerang Manchester City itu masih terbuka untuk kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL).

Bintang Roma, Dzeko, hampir kembali ke England pada Januari lalu tetapi perpindahannya ke Chelsea tidak berhasil selepas memenangi dua gelaran liga bersama City pada 2012 dan 2014.

Pemain kebangsaan Bosnia-Herzegovina itu selesa di Rome tetapi mendedahkan mengenai kebarangkalian untuk dirinya kembali ke saingan EPL.

"Mungkin masih belum terlambat untuk kembali beraksi dalam EPL," kata Dzeko.

"Saya telah beraksi bersama Roma selama empat setengah tahun dan menikmati setiap masa beraksi di padang. Saya amat menggemari EPL dan England tetapi buat masa ini, saya gembira berada di Rome."

Dzeko menjaringkan dua gol dalam saingan Serie A musim ini di samping meledak hatrik dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) ketika mengatasi Viktoria Plzen.