Juan Mata berkata sudah tiba masa untuk berasa optimis di Manchester United, dengan Ole Gunnar Solskjaer mengambil alih tugas Jose Mourinho selaku ketua jurulatih pasukan.

United berpisah dengan Mourinho minggu lalu selepas tewas 3-1 kepada Liverpool, sekali gus ketinggalan 19 mata kepada pendahulu saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Solskjaer dipinjamkan daripada Molde untuk memimpin The Red Devils secara sementara hingga penghujung musim ini dan memulakan tugas dengan langkah kanan selepas membenam Cardiff City 5-1, Sabtu lalu.

Mata mengharapkan United dapat meneruskan momentum ini dengan memastikan pasukan menamatkan 2018 dengan kemenangan ke atas Huddersfield Town dan Bournemouth.

"Saingan bola sepak Inggeris melewati waktu yang paling sibuk dengan jumlah perlawanan yang perlu dihadapi oleh setiap pasukan," kata Mata.

"Kami memiliki dua perlawanan di Old Trafford dan mahu mengakhiri bulan Disember dengan dua kemenangan.

"United sedang melalui fasa yang berbeza selepas bertukarnya pengurus pasukan dan saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Mourinho yang membantu pasukan meraih gelaran dan mengucapkan semoga maju jaya pada masa akan datang.

"United kini dipimpin oleh Solskjaer, bekas pemain yang memiliki sejarah tersendiri bersama pasukan dan kami telah memberikan permulaan yang terbaik.

"Ia merupakan kemenangan bergaya ke atas Cardiff dan ia akan melonjakkan semangat pasukan untuk menghadapi tahun 2019.

"Sudah tiba masa untuk meletakkan keyakinan, melihat ke hadapan dan bekerja keras untuk memperbaiki kedudukan pasukan dalam carta liga. Kami sangat bermotivasi tinggi untuk menampilkan persembahan terbaik buat penyokong United," katanya lagi.